Kota Bharu selamat untuk diduduki - PDRM


BANDAR Kota Bharu diakui sebagai bandar selamat untuk diduduki, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad.

Beliau berkata, warga bandar tidak perlu risau untuk berurusan di bandar tersebut.

“Statistik sehingga Disember tahun ini menunjukkan ia begitu terkawal," katanya pada pelancaran Larian Selamat anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) baru-baru ini.

Lebih 1,000 warga bandar mengambil bahagian pada program berkenaan.

Pelepasan larian peserta dilakukan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Ustaz Abdul Rahman Yunus.

Turut hadir Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kelantan (AADK), Rohayu Ahmad.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK.

Din juga berkata, kejadian gejala negatif begitu terkawal di Bandar Kota Bharu, di mana statistik jenayah 2017 sebanyak 118 kes iaitu meningkat kepada 2.18 peratus banding tahun lalu.

Katanya, dengan kekuatan 5,000 anggota PDRM di Kelantan pihaknya mampu menangani gejala yang tidak sihat.

“Namun alhamdulillah setakat ini semuanya selamat, semoga Kelantan khususnya Kota Bharu menjadi tempat yang selamat untuk diduduki,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2017