KELUARGA INDIA PENERIMA KE-608 TAKAFUL KIFAALAH

Print Email

KUALA KRAI - Sebuah keluarga India di Pasir Kelang, seberang Sungai Kelantan, dekat sini, menjadi penerima ke-608 Skim Takaful Kifaalah bagi Dun Mengkebang atas kematian ketua Keluarga ini, Isnin lalu.

Penyampaian bayaran pendahuluan skim kepada keluarga mending Kutty Kavandar disempurnakan Adun Mengkebang, Abdul Latif Abdul Rahman, semalam.

Anak keenam mendiang, Ravisanhiran berkata, ayahnya menghembus nafas terakhir pada usia 76 tahun di Hospital Kuala Krai (HKK) akibat sakit dalam perut.

Katanya, ayahnya sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selama sembilan hari dan menjalani pembedahan sebelum dipindahkan ke wad biasa.

"Mendiang asalnya pergi hospital sebab sakit perut dan selepas terima rawatan, dia dibenarkan pulang. Bila sampai di seberang sungai dalam perjalanan balik rumah, dia pengsan dan terpaksa dihantar semula ke hospital.

"Dia tinggal di ICU sembilan hari dan sehari selepas pindah wad biasa, dia kembali tenat dan menghembuskan nafas terakhir jam 7.05 malam, Isnin lepas,"katanya selepas majlis penyampaian bayaran manfaat itu.

Hadir sama, Penghulu Tanpa Mukim (India) Parlimen itu, J Jayakumar dan Penghulu Tanpa Mukim Dun Mengkebang, juga Ketua Pemuda Pas Dun itu, Abdul Hashil Jusoh.

Sementara itu, Ravisanthiran berkata, dia terharu kerana Abdul Latif sanggup datang sendiri menyampaikan bayaran itu walaupun terpaksa menaiki bot penambang dan membonceng motosikal untuk sampai ke rumah mereka.

"Dia (Abdul Latif) boleh kirim bayaran ini kepada Jayakumar selaku penghulu India tetapi beliau sanggup datang sendiri dan bertanya khabar keluarga kami,"katanya semalam.

Abdul Latif pula berkata, Kutty Kavandar adalah peserta ke-608 Takaful Kifaalah Dun Mengebang meininggal dunia sejak skim perlindungan untuk warga emas itu diperkenalkan Kerajaan Negeri pada tahun 2007.

"Pendahuluan sebanyak RM500 dibayar bila berlaku kematian bagi meringankan beban kewangan pengurusan jenazah manakala bakinya sebanyak RM1,000 akan dijelaskan kemudian,"katanya.