7 peserta Takaful Khairatul Ummah dapat manfaat Badal Haji

Print Email

PENGKALAN CHEPA – Seramai 7 orang wasi peserta Skim Kafaalah Takaful Khairatul Ummah (Ummah) oleh Kifaalah Sdn Bhd telah menerima sijil pengesahan Badal Haji.

Majlis penyampaian sijil itu disampaikan bersempena Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Penghulu Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan di Dewan Utama Kompleks Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa pada 16 Jun 2013.

Sejak dilancarkan pada Julai 2011, Skim ini telah memberi manfaat  kepada 11 orang wasi. Dengan caruman sebanyak RM30 setahun, manfaat yang diperolehi adalah khairat kematian sebanyak RM3,000 bagi setiap peserta. Manakala RM2,000 lagi dalam bentuk Badal Haji dengan kerjasama Al-Quds Travel Sdn Bhd.

Seramai 3 orang wasi hadir dan 4 orang lagi diwakili oleh penghulu masing-masing. Yusof Mat Nor, Penghulu mukim Chenulang dari Dun Mengkebang yang mewakili wasi kepada arwah Haji Nik Abdullah Bin Nik Soh berkata “ Skim ini sangat bermanfaat. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah memperkenalkan skim ini dan dapat memberi ruang kepada ahli untuk menyempurnakan Ibadah Haji.”

Seorang lagi wasi, Aini binti Mat Amin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas manafaat yang telah diperolehi.

Penyampaian sijil itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad bin Yaakob. Sementara itu dalam majlis sama, lebih 700 orang penghulu menerima watikah perlantikan dari kerajaan negeri.