Ulama Thailand sifatkan TG Nik Aziz 'murabbi ummah'

Print Email


KOTA BHARU: Ulama Thailand menyarankan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) memainkan peranan sehingga ke negara luar memandangkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seorang Murabbi Ummah.Anggota Jawatankuasa Majlis Agama Islam Selatan Thailand, Abdul Rahman Abdul Samad berkata, ilmu agama dan pengalaman politik Islam dimiliki Mursyidul Am PAS itu sukar dicari ganti.“Penduduk Islam di luar Kelantan termasuk di selatan Thailand sentiasa memerlukan seseorang tokoh yang mempunyai ilmu agama yang luas.“Ceramah dan kuliah agama yang disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz perlu disebarkan lebih luas. Lagi pun Tok Guru begitu terkenal di Thailand sebagai murabbi ummah yang berpengaruh,” katanya di sini semalam.Beliau berkata demikian pada pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di JKR 10. Rombongan pemimpin Islam dari 15 wilayah di Thailand menyertai lawatan tersebut.Ia diketuai Ketua Jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand, Zakaria Kincarat.Sebelum itu taklimat mengenai kerajaan Kelantan disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Muhammad Awang, Ketua Penolong Pengarah Program Korporat MPKB BRI, Azman Mat Daham dan Pengarah SPARK, Dr Nazmi Ghazali Azmi. - HARAKAHDAILY 10/6/2014