Terus salur bantuan kepada Palestin

Print Email

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir
KUALA LUMPUR- Sumbangan dan dana kepada Palestin perlu diberikan secara berterusan oleh rakyat Malaysia.

Penasihat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, dana yang disalurkan kepada negara berkenaan digunakan untuk membina kembali kemudahan buat rakyatnya.

“Saban hari kita lihat jumlah bilangan rakyat yang tercedera meningkat, jadi keperluan perubatan di sana sangat terhad. Justeru bantuan diperlukan dan caranya adalah dengan sumbangan setiap sen yang diberikan seluruh dunia.

“Begitu juga dengan sistem pendidikan mereka, sejak dahulu lagi, sekolah sering kali menjadi sasaran untuk dimusnahkan. Kanak-kanak perlu mendapat pendidikan asas untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Beliau berkata, sehingga saat ini, Israel masih gagal menakluki Gaza kerana kebanyakan negara dunia hari ini berdiri di belakang Palestin memberi sokongan serta bantuan.

“Saya sebagai nazir di Masjid Al-Falah, Subang Jaya, turut mengutip sumbangan buat Gaza dan jumlah sekarang mencecah RM40,000. Ia akan diserahkan kepada Mapim untuk disalurkan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Usrah Fitrah, Hamin Idris berkata, dunia hari ini sedang berhimpun mengutuk dan menekan Israel menghentikan serangan.

“Jelas sekali Israel cuba memaksa Malaysia menghentikan bantuan ke atas Palestin kerana negara kita cukup kuat membantu rakyat Gaza dan melabelkan negara kita sebagai tempat latihan tentera Hamas. Namun perkara berkenaan telah disangkal oleh Hamas sendiri.

“Himpunan yang dijalankan hari ini (semalam) jelas menandakan sokongan dan mengharapkan penderitaan Palestin bakal berakhir," katanya.

Menurut Hamin, himpunan yang berlangsung di seluruh dunia juga mendesak Mesir membuka pintu sempadan supaya bantuan ke Gaza dapat disalurkan.

“Pintu sempadan Rafah pada masa ini ditutup buat rakyat Palestin. Mereka terkepung tidak boleh ke mana-mana selain mengelakkan serangan bedilan dan roket sepanjang masa,” katanya.

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2014