Penasihat Duta Amerika minat dalami hudud

Print Email

KOTA BHARU:Penasihat Politik Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Tresa Rae Finerty berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.

Beliau mengakui agak keliru terhadap perundangan tersebut kerana tidak mempunyai maklumat lengkap mengenainya.

“Perkara itu mungkin disalah tafsir sehingga agak mengelirukan. Selepas ini saya akan mencari maklumat berhubung perkara itu,” katanya ketika mengunjungi hormat Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah di pejabatnya hari ini.

Kelantan melulus enakmen tersebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada 1993.

Namun perundangan tersebut yang merangkumi hudud tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat kerjasama kerajaan pusat.

Bagaimanapun kerajaan negeri tetap berusaha bagi membolehkan perundangan terbabit dilaksanakan di Kelantan.

Ekoran itu tahun lepas kerajaan negeri mewujudkan Jawatankuasa Teknikal bagi menghalusi perundangan tersebut.

Dan tahun ini kerajaan pusat turut memberi respon positif bagi membolehkan perundangan berkenaan dibawa ke parlimen.

Tresa turut meluahkan rasa kagum rakyat Kelantan kerana mempunyai budaya kehidupan tersendiri, di samping keramahan masyarakatnya. -HARAKAHDAILY 18/11/2014